IPTA, IPTS Sabah digesa lahirkan graduan berkualiti, bersifat global

IPTA, IPTS Sabah digesa lahirkan graduan berkualiti, bersifat global

Kota Kinabalu: Institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di Sabah digesa supaya menyediakan graduan berkualiti, bersifat global dan sentiasa relevan agar dapat memasuki pasaran kerja lebih luas hingga di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata graduan perlu mempunyai kemahiran berfikir secara kritis, sifat kepimpinan, kerja berpasukan dan mempunyai karakter global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor

Beliau berkata, bakal graduan juga harus bersedia berdepan perubahan dan mengadaptasi situasi semasa dengan mempelbagaikan kemahiran yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.

“Ini penting supaya graduan kekal relevan untuk bersaing bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa, termasuk kemahiran digital dan literasi digital serta pemindahan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program MyCareer@MOHE Zon Borneo 2021 secara dalam talian di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, selain bakal graduan, sektor pendidikan dan pengajian tinggi juga tidak boleh lagi bergerak seperti biasa, sebaliknya perlu memastikan graduan mempunyai kebolehpasaran dan menyediakan program bersesuaian sebagai persediaan pasaran pekerjaan.

“Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi perlu sentiasa komited mempergiatkan pelbagai inisiatif ke arah meningkatkan kebolehpasaran graduan secara proaktif dan memastikan graduan mendapat penempatan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan,” katanya.

Katanya, isu kebolehpasaran graduan sering dibincangkan dalam landskap pendidikan tinggi negara berikutan masalah pengangguran siswazah dan ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

Tambahnya, pandemik Covid-19 menambahkan lagi kesan buruk, khususnya dalam aspek ekonomi yang menyebabkan kurangnya peluang pekerjaan.

Katanya, berdasarkan Statistik Siswazah 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), seramai 202,400 dilaporkan menganggur di seluruh negara, meningkat sebanyak 37,200 graduan berbanding 165,200 graduan pada tahun sebelumnya.

Pertambahan itu katanya membabitkan pemegang Ijazah dan Diploma yang sebahagian besarnya dalam kalangan siswazah berumur 35 tahun ke atas.

“Justeru, kadar pengangguran siswazah pada 2020 naik sebanyak 0.5 mata kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Hajiji berkata, norma baharu akibat pandemik Covid-19 dan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 dijangka akan mengubah sebahagian besar landskap pasaran buruh di serata dunia, termasuk Malaysia.

“Adaptasi kepada peralihan teknologi dijangka akan lebih cepat berlaku pasca Covid- 19. Mengikut laporan The World Economic Forum 2020, permintaan pekerjaan berintensifkan tenaga buruh dijangka menurun pada masa hadapan kerana peningkatan permintaan untuk pekerjaan yang menjurus kepada penggunaan teknologi dan kemahiran baharu.

“Di Malaysia, pelbagai industri ingin memanfaatkan perkembangan pasaran digital dan transformasi pendigitalan ini, telah mewujudkan permintaan tinggi bagi pekerja yang mempunyai kemahiran digital.

“Landskap pekerjaan masa depan tidak lagi terhad kepada sesuatu tempat tertentu kerana dunia sekarang bersifat tanpa sempadan dan ini memberi peluang mengatasi masalah fizikal, sosial dan geografi,” katanya.

Beliau turut menggesa pemain industri di Sabah agar menjalin kerjasama dengan IPT Awam negeri ini, seperti UMS, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Politeknik Kota Kinabalu, khususnya dalam kemahiran digital.

Katanya, kerjasama itu penting bagi membantu kerajaan negeri melahirkan lebih ramai graduan yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa kini.

Menyentuh Program MyCareer @MOHE Zon Borneo 2021, Hajiji berkata ia adalah inisiatif yang baik bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan kebolehdapatan kerja graduan bagi IPT di seluruh negara khususnya di Sabah.

“Program yang julung kali diadakan di Sabah ini diharapkan mampu menjadi platform kepada graduan untuk mendapatkan peluang pekerjaan mengikut bidang masing- masing.

“Saya berharap program ini mampu membantu memantapkan graduan agar lebih bersedia menghadapi cabaran di alam pekerjaan menerusi ceramah kerjaya dan aktiviti perkongsian ilmu,” katanya.

Hajiji turut berharap agar Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dapat terus menjalin kolaborasi strategik bersama kerajaan negeri dalam membantu menstabil dan menguruskan hal berkaitan pasaran buruh menerusi aktiviti perkhidmatan pekerjaan yang dilaksanakan secara berterusan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|