Garis panduan hukuman jenayah perhutanan dikuatkuasakan

Garis panduan hukuman jenayah perhutanan dikuatkuasakan

Sandakan: Garis Panduan Hukuman Jenayah Hutan dilancarkan untuk diguna pakai dalam menjatuhkan hukuman bagi mengelakkan perbezaan hukuman terhadap jenayah yang sama.

Ketua Hakim Sabah Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim berkata, garis panduan berkenaan adalah yang kedua dikeluarkan di Sabah untuk panduan hakim dan majistret.

Katanya, sebelum ini, garis panduan berkaitan jenayah hidupan liar pernah dikeluarkan pada tahun 2019.

“Kini, garis panduan bagi hukuman jenayah hutan turut dilancarkan dan Sabah menjadi negeri pertama memiliki garis panduan berkenaan untuk rujukan.

“Ini adalah kali kedua ada garis panduan untuk hukuman dikeluarkan yang mana sebelum ini, kita sudah mengeluarkan panduan untuk jenayah perlindungan hidupan liar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis pelancaran garis panduan hukuman jenayah hutan, di Mahkamah Sandakan, hari ini.

Abang Iskandar berkata, panduan ini berkenaan dengan jenayah yang membabitkan aktiviti mengambil sumber daripada hutan di negeri Sabah.

Katanya, dengan garis panduan berkenaan, ia akan membawa pelbagai kesan positif, antaranya akan mengelakkan jurang perbezaan hukuman yang dikenakan atas kesalahan yang sama.

“Apa yang diharapkan ialah kita mahu mengelakkan terdapatnya jurang yang besar di antara hukuman-hukuman yang dikenakan mahkamah terhadap jenayah yang sama.

“Jadi tujuan garis panduan ini adalah untuk mengelak daripada wujudnya keadaan yang sedemikian itu. Ia supaya jenayah-jenayah yang dilakukan, sebaik mungkin hukuman dikenakan mestilah sama,” katanya.

Abang Iskandar berkata, dengan garis panduan berkenaan, beliau turut berharap hakim dan majistret mendapat panduan dalam melaksanakan tugas kehakiman ketika menjatuhkan hukuman berkaitan kes hutan.

Katanya, sebarang hukuman yang dijatuhkan akan mencerminkan sewajarnya kerosakan atas kesalahan yang dilakukan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|