KePKAS komited memajukan Tapak Warisan Dunia Kinabalu

KePKAS komited memajukan Tapak Warisan Dunia Kinabalu

Kota Kinabalu: Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Negeri Sabah (KePKAS) sentiasa komited untuk memajukan Tapak Warisan Dunia Kinabalu sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia.

Pembantu Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, komitmen itu adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk membina jati diri komuniti berteraskan budaya dan warisan negara.

Pembantu Menteri, Datuk Joniston Bangkuai

Beliau berkata, rakyat Sabah terutamanya penduduk di sekitar Tapak Warisan Dunia Kinabalu harus berbangga dengan kepelbagaian flora dan fauna, kebudayaan dan geologi yang terdapat di kawasan tersebut.

“Kerajaan negeri melalui KePKAS sentiasa berusaha membangunkan infrastruktur berkaitan pelancongan dan juga kebudayaan komuniti serta perlindungan khazanah kita dalam memastikan semua ini dapat tumbuh dengan harmoni serta sesuai dengan dasar kerajaan.

“Dalam memastikan Tapak warisan Dunia Kinabalu ini terus dijaga dengan baik, kerajaan telah bersetuju supaya Kawasan Kinabalu Geopark dijadikan sebagai Geopark Kebangsaan dan ia kini sedang dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark yang dijangka pada tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Sambutan Hari Komuniti Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu 2021 secara maya di sini, hari ini.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah turut berkata, program geopark itu akan memberikan banyak peluang kepada komuniti terutamanya dalam meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pelancongan dan juga dalam usaha mengekalkan budaya di daerah serta kawasan kampung yang terbabit.

Dengan pengiktirafan itu, beliau percaya ia mampu menarik minat rakyat dan pelancong asing untuk mengenali Tapak Warisan Dunia Kinabalu serta Kinabalu Geopark dengan lebih dekat, seterusnya menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke Sabah.

Sehubungan itu, Joniston menyeru agar rakyat Sabah khususnya penduduk di persekitaraan Tapak Warisan Dunia Kinabalu berganding bahu bersama dengan pihak kerajaan dalam memelihara khazanah negeri ini daripada dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Untuk rekod, sambutan Hari Komuniti adalah salah satu daripada acara tahunan yang dimasukkan dalam ‘Calender of Event’ di bawah KePKAS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|