Bajet Sabah diharap beri perhatian pembangunan modal insan

Bajet Sabah diharap beri perhatian pembangunan modal insan

Papar: Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berharap pembentangan bajet negeri esok akan memberi perhatian kepada pembangunan modal insan di Sabah.

Beliau berkata, sebelum ini Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah meluluskan pelbagai inisiatif berkaitan dengan pembangunan modal insan.

“Saya harap dan yakin beliau akan memberi perhatian sangat mendalam berhubung modal insan yang mana ia berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan.

“Sebelum ini, beliau telah bentang bajet yang mengambil kira pembangunan modal insan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan selepas itu Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan sebagainya,” katanya ketika diminta mengulas berhubung harapan pada pembentangan Bajet Sabah esok.

Mengulas lanjut, beliau yakin bahawa Ketua Menteri akan melihat perkara itu dengan lebih mendalam selaras dengan agenda kerajaan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“InsyaAllah, Ketua Menteri akan melihat dengan mendalam perkara itu kerana ia salah satu agenda teras untuk SMJ adalah modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Sudah pasti pendidikan, kemahiran dan ilmu di bawah bidang pendidikan akan diteruskan kerana ini adalah idea, gagasan beliau,” katanya.

Bajet negeri akan dibentangkan oleh Hajiji di Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Mesyuarat Kedua Penggal Kedua DUN Sabah ke-16 yang akan bermula esok.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|