Kinabatangan: Seorang wanita maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya bertembung dengan lori tangki di Jalan Paris Satu, Kampung Paris, di sini, jam 12 tengah tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.03 tengah hari.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan kemudian bergegas ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi bertembung dengan lori tangki membawa muatan simen.
“Seorang wanita yang memandu Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas pemeriksaan dilakukan di sekitar kejadian dan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 2.48,” katanya.
Kemalangan ini adalah kejadian kedua di jalan berkenaan yang mengorbankan dua nyawa dalam tempoh empat jam.
Kemalangan kali ini juga dilaporkan berlaku hanya pada jarak 3 kilometer daripada kejadian pagi tadi.
-Deasoka