Penduduk Tawau rasai gegaran gempa bumi berpusat di Tarakan, Indonesia

Penduduk Tawau rasai gegaran gempa bumi berpusat di Tarakan, Indonesia

Tawau: Penduduk di daerah ini gempar apabila merasai gegaran selama kira-kira lima saat berikutan kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di Tarakan, Indonesia, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi itu, penduduk yang rata-rata sedang tidur terbangun apabila merasai gegaran yang sedikit kuat.

Menurut Kamisah Toyo, 42, dia dan suami tidak menyangka berlaku gempa bumi di Tarakan walaupun terasa gegaran di kediaman mereka di Batu 2, Jalan Apas, di sini.

“Ketika itu kami sedang tidur tetapi terbangun apabila merasa gegaran sebanyak dua kali. Gegaran pertama agak kuat sedikit iaitu kira-kira lima saat disusuli dengan gegaran kedua selang beberapa saat kemudian.

“Pada mulanya saya tidak sangka itu gegaran daripada gempa bumi tetapi kemudian saya buka Facebook, sudah kecoh orang lain turut rasa gegaran terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana ia tidak juga terlalu kuat seperti yang berlaku sebelum ini sehingga merosakkan harta benda.

“Ini kali kedua kami merasai gegaran mungkin disebabkan rumah kami berdekatan dengan laut.

“Tetapi saya bersyukur kerana semuanya selamat dan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk di daerah ini mengesahkan bahawa ahli keluarganya turut merasai gegaran yang berlaku berikutan gempa bumi lemah di negara jiran.

“Ya, ahli keluarga saya memang rasa gegaran yang berlaku sekitar jam 2.09 pagi,” katanya yang tinggal di Flat Sri Titingan, di sini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan berlaku gempa bumi lemah berpusat di Tarakan, Indonesia, pada jam 2.09 pagi, tadi.

Gempa bermagnitud 4.2 itu dikesan pada jarak 79 kilometer (km) Barat Daya Tawau dengan kedalaman 10 km dengan gegaran turut dirasai di sekitar Tawau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|