Jeffrey bertemu Peter, Juil petang ini

Jeffrey bertemu Peter, Juil petang ini

Kota Kinabalu: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mengesahkan akan bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nautim hari ini.

Jeffrey berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada kedua-dua ADUN berkenaan dan pertemuan dijadualkan berlangsung petang ini.

“Ya, ada respons. Saya mungkin akan jumpa mereka petang ini. Pihak ketiga (uruskan),” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah Bagi Tahun 2020 dan 2021, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas jika ada maklum balas mengenai pelawaan beliau semalam yang mahu kedua-dua ADUN berkenaan menyertai STAR.

Jeffrey yang juga ADUN Tambunan turut menyatakan harapannya agar Peter tidak menubuhkan parti politik baharu lagi di negeri ini.

“Saya harap dia tidak menubuhkan parti. Ini jauh lebih baik kerana kita sudah terlalu banyak parti politik yang sedia wujud dan boleh kita gunakan parti-parti yang wujud ini,” katanya.

Jeffrey dalam pada itu berkata, hasrat bekas Naib Presiden Warisan (WARISAN) itu menubuhkan parti baharu tidak akan memecah belahkan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) di Sabah.

“Saya harap ini tidak akan berlaku sebab mereka juga memberikan hasrat untuk mesra kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), jadi kalau mereka bersatu dalam GRS ini tidak menjejaskan kesatuan di Sabah,” katanya.

Peter pada Selasa lalu mengumumkan keluar WARISAN bersama Juil dan akan menubuhkan parti baharu pada awal Januari ini.

Sementara itu, mengulas berkaitan persediaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau berharap ada strategi daripada semua parti gabungan untuk memastikan kemenangan bersama.

“PRU-15 kita tidak tahu bila tetapi anggap ia bila-bila masa akan berlaku. Untuk persediaan itu, kita telah menggerakkan jentera kita bukan saja STAR tetapi juga GRS.

“Kita tidak tahu bagaimana ia akan berlaku disebabkan di Melaka berlaku juga pertembungan begitu juga di Sarawak. Jadi saya harap kali ini ada strategi untuk memastikan kemenangan bersama wujud sebab kita mahu kestabilan politik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|