Wajibkan pengantin etnik Bisaya pakai baju tradisi pada majlis perkahwinan

Wajibkan pengantin etnik Bisaya pakai baju tradisi pada majlis perkahwinan

Beaufort: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam menyarankan supaya Mahkamah Anak Negeri (MAN) mewajibkan pemakaian baju tradisi suku kaum Bisaya terhadap pasangan pengantin dalam majlis perkahwinan etnik berkenaan.

Beliau berkata, MAN mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam usaha mengekalkan identiti setiap suku kaum di negeri ini.

Ruslan bersama ketua masyarakat yang hadir pada Majlis Taklimat Peranan dan Tanggungjawab MAN di Beaufort.

“Kita melihat hari ini, identiti bukan saja satu kaum tetapi semua suku kaum semakin hari semakin pudar dan ini peranan MAN dalam mengekalkannya selaku mewakili masyarakat khususnya di Beaufort ini.

“Kita perlu menguatkuasakan atau mewajibkan pemakaian pakaian pengantin kerana itulah identiti yang ditinggalkan nenek moyang kita dan sudah pasti menjadi asas pada sesuatu masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Taklimat Peranan dan Tanggungjawab MAN, di sini, hari ini.

Ruslan menerima cenderamata daripada Ketua Daerah Lumadan, Tajudin Asari pada Majlis Taklimat Peranan dan Tanggungjawab MAN, di Beaufort.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) berkata, ia perlu dimulakan melalui majlis pertunangan bagi kedua-dua pasangan.

“Pada majlis pertunangan yang terlibat adalah ketua-ketua adat. Jadi maknanya, perlu bahawa sekiranya majlis pertunangan dilaksanakan mesti tertera syarat dalam borang bahawa ketika melangsungkan majlis perkahwinan diwajibkan untuk memakai pakaian tradisi.

“Sebenarnya, ini cara kita untuk mengekalkan dan meneruskan adat yang ada dan ia perlu diterjemahkan melalui pelaksanaannya. Jika ingkar, kita kenakan sogit (denda),” katanya.

Katanya lagi, tujuan sogit itu pula bukan bermakna untuk menzalimi masyarakat tetapi untuk mendisiplinkan supaya mereka menghormati adat dan seterusnya mengamalkannya.

“Sogit ini bukan zalim atau mendera tetapi kita cuma untuk mendisiplinkan masyarakat kita supaya patuh kepada arahan MAN dan supaya mereka mempunyai tanggungjawab.

“Jika kita tidak kuatkuasakan, mungkin tidak akan diambil endah dan akhirnya generasi kita tidak tahu mengenai adat berkenaan,” katanya.

Sesi taklimat itu turut dihadiri oleh Ketua Kampung, Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua Masyarakat Cina di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|