‘Kopi Ranau’ berpotensi tembusi pasaran antarabangsa

‘Kopi Ranau’ berpotensi tembusi pasaran antarabangsa

Ranau: Pengusaha tanaman kopi di daerah ini disaran supaya memperkasakan aktiviti dalam usaha mengekalkan industri kopi tempatan selain mengembangkannya ke pasaran dunia.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kawasan berbukit dan tanah tinggi sememangnya sesuai untuk tanaman kopi yang kini semakin mendapat perhatian ramai.

“Kopi adalah satu produk yang menjanjikan pulangan cukup lumayan dan saya difahamkan harga borong bagi sekilogram kopi mencecah lebih RM20 dan ini harga yang tinggi kepada mereka yang menanam kopi.

“Sebenarnya, tiada keperluan untuk orang muda berhijrah ke bandar lagi kerana mereka boleh menanam kopi yang menjanjikan pendapatan yang tinggi,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Mesin Memproses Biji Kopi di Dewan Serbaguna Kampung Toboh Lama, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut menyeru penduduk kampung yang terlibat dalam penanaman kopi supaya sentiasa mengekalkan pengeluaran komoditi berkenaan.

“Penduduk kampung yang terlibat diharap sentiasa memastikan pasaran pengeluaran produk pada tahap yang dijanjikan untuk pembeli.

“Contohnya, apabila sudah menjanjikan untuk mengeluarkan 20 kilogram sebulan, maka pengusaha perlu memenuhinya supaya produk ini dapat kekal dalam pasaran semasa,” katanya.

Selain itu, Masidi turut berharap supaya pengusaha sentiasa menggunakan kemudahan yang diberikan oleh pihak berkaitan termasuk Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membantu meningkatkan penanaman kopi.

“Guna sepenuhnya kemudahan termasuk konsultasi atau nasihat yang disediakan oleh agensi berkaitan dalam bidang pertanian ini.

“Ini kerana pada akhirnya, kejayaan penanaman kopi ini bergantung kepada usaha dan inisiatif petani sendiri bagi mendapatkan nasihat supaya mereka dapat meningkatkan hasil tanaman masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, Masidi berkata penanaman kopi juga dapat menjadikan kampung di daerah ini dikenali sebagai pengeluar kopi berkualiti tinggi hingga ke peringkat antarabangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|