Kota Belud: Seorang wanita warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar dari kediamannya di Kampung Kalibungan Rosok, di sini, semalam.
Tianun Padis, 86, dikatakan akan keluar rumah untuk memberi makan kepada ternakan ayamnya setiap hari di rumah lama kira-kira 500 meter dari kediamannya.
Bagaimanapun anak mangsa merasa tidak sedap hati apabila mangsa tidak pulang ke rumah sehingga petang semalam.
Difahamkan, biasanya mangsa akan pergi ke rumah cucunya namun mangsa dikatakan tidak berada di rumah cucunya.
Susulan itu, anak mangsa bersama penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan berhampiran namun sehingga gagal menemui mangsa sebelum laporan polis dibuat bagi membantu mencari mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, sebaik menerima laporan pada 11.35 pagi tadi, sepasukan polis bersama agensi berkaitan melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR)
Katanya, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diaktifkan pada 12 tengah hari tadi di lokasi kejadian.
Katanya, operasi pencarian hari ini membabitkan keluasan 290,000 meter persegi.
“Unit K9 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran turut membantu dalam operasi SAR namun belum menemu mangsa.
“Operasi SAR ditangguh jam 6 petang tadi dan akan disambung semula pada esok pagi,” katanya ketika dihubungi,” hari ini.
-Deasoka