Covid-19 Sabah: 84 kematian dicatat hari ini

Covid-19 Sabah: 84 kematian dicatat hari ini

Kota Kinabalu: Sabah hari ini mencatat 84 kematian akibat Covid-19, rekod harian tertinggi pernah dicatatkan sejak lebih setahun pandemik Covid-19 menular ke negeri ini.

Jumlah itu meningkat sebanyak 31 kes berbanding 53 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah Kota Kinabalu mencatat kematian tertinggi dengan sebanyak 18 kes, diikuti Sandakan sebanyak 14 kes.

“Selebihnya, sebanyak 10 kes kematian dilaporkan di Kota Belud, diikuti sembilan kes di Penampang dan tujuh kes di Tawau.

“Selain itu, masing-masing empat kes direkodkan di Lahad Datu, Kota Marudu dan Pitas, diikuti tiga kes di Tuaran, masing-masing dua kes di Keningau, Putatan, Papar dan Tenom, manakala Semporna, Kunak dan Nabawan masing-masing mencatat satu kes,” kematian.

Sementara itu, katanya 1,950 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 148,248 orang.

Katanya, seramai 4,858 pesakit pula sedang menerima rawatan iaitu 1,631 orang di hospital, manakala seramai 3,146 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam, diikuti 71 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara, manakala 10 orang di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal di Sabah hari ini pula ialah seramai 216 orang, merangkumi 128 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ‘repurposed kritikal care’ serta 88 orang di wad terbuka dan 80 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Sabah hari ini merekodkan penurunan sebanyak 446 kes Covid-19 kepada 1,717 kes, berbanding 2,163 kes semalam, manakala jumlah kumulatif sehingga hari ini sebanyak 173,863 kes.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|