SOP lengkap vaksin dikuatkuasa mulai 21 September

SOP lengkap vaksin dikuatkuasa mulai 21 September

Kota Kinabalu: Tempoh seminggu lagi diberikan sebelum prosedur operasi standard (SOP) lengkap vaksin Covid-19 dalam sektor perdagangan dan pengedaran dikuatkuasakan mulai 21 September ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata SOP baharu itu sepatutnya dikuatkuasakan mulai 15 September ini seperti dimaklumkannya bulan lalu.

Katanya, perubahan tarikh kuatkuasa SOP itu diputuskan selepas mengambil kira kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Sabah ketika ini yang baru mencapai kira-kira 52 peratus.

“Orang ramai diingatkan sekali lagi bahawa semua pekerja dan pelanggan bagi semua sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya hendaklah sudah lengkap divaksinasi atau sudah menerima dua dos vaksin.

“SOP ini pada mulanya diumumkan untuk mula dikuatkuasakan mulai 15 September ini.

“Bagaimanapun, oleh kerana tahap vaksinasi seluruh Sabah sehingga ke hari ini baru mencapai 52 peratus populasi dewasa, maka tarikh kuatkuasa dianjakkan ke 21 September, iaitu tarikh sasaran Sabah mencapai tahap vaksinasi lengkap 60 peratus,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau berkata, perubahan itu turut mengambil kira kelewatan pekerja sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya untuk menerima dos kedua vaksin COVID-19 khususnya penerima vaksin Astra-Zeneca.

Jelasnya, majikan boleh memohon pengecualian sementara kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menyenaraikan nama kakitangan yang terbabit dan tarikh pengambilan dos
pertama serta dos kedua.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata sehingga semalam, 51.8 peratus penduduk dewasa Sabah sudah melengkapkan pengambilan vaksin, manakala 67.4 peratus mendapat satu dos vaksin.

Sementara itu, Sabah hari ini merekodkan penurunan sebanyak 446 kes Covid-19 kepada 1,717 kes, berbanding 2,163 kes semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|