Wakil Sabah dalam Kabinet Pusat ambil kira kesinambungan agenda kerajaan, pemimpin pelapis

Wakil Sabah dalam Kabinet Pusat ambil kira kesinambungan agenda kerajaan, pemimpin pelapis

Kota Kinabalu: Pelantikan semula dua menteri dari Sabah dalam Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan sebagai langkah strategik untuk kesinambungan usaha kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 dan isu ekonomi.

Pensyarah Kanan Politik Identiti dan Pembangunan Manusia Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg, berkata pengalaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sememangnya diperlukan untuk meneruskan agenda kerajaan.

“Maximus dan Ronald adalah pemimpin yang berpengalaman serta berada dalam Kabinet kerajaan sebelum ini. Faktor ini sudah tentu diambil kira oleh Perdana Menteri untuk kelangsungan agenda menangani pandemik dan isu ekonomi.

“Pelantikan semula dua pemimpin ini juga dilihat dapat menyumbang kepada kestabilan politik negara dan mereka juga tentunya diharap dapat membawa agenda berkenaan kepada kejayaan yang lebih cemerlang,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, katanya dua muka baharu mewakili Sabah dalam Kabinet persekutuan kali ini dilihat sebagai pendekatan untuk mewujudkan pemimpin pelapis yang boleh berperanan dengan baik dalam kerajaan Pusat.

Dua pemimpin terbabit iaitu Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, masing-masing dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II dan Timbalan Menteri Pendidikan II.

Kedua-dua pemimpin mewakili golongan muda itu baru pertama kali menjadi Ahli Parlimen, masing-masing selepas memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 dan melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari tahun lalu.

Romzi berkata, seorang lagi wakil golongan muda iaitu Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup juga boleh disifatkan sebagai pelapis pemimpin Sabah, di samping berpengalaman lebih setahun memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dalam Kabinet sebelum ini.

Arthur dilantik semula dalam Kabinet baharu pimpinan Ismail Sabri dengan portfolio baharu sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

“Pelantikan Yamani dan Mohamad rasanya adalah salah satu kaedah ke arah memastikan wujudnya pelapis kepemimpinan Sabah di peringkat persekutuan.

“Demikian juga dengan Arthur yang mana turut mempunyai sedikit pengalaman apabila menganggotai barisan kepemimpinan dalam kerajaan terdahulu,” katanya.

Jelasnya, walaupun disifatkan sebagai tenaga baharu, ketiga-tiga pemimpin muda itu sudah lama berada dalam arena politik dan menjadi harapan rakyat supaya mereka dapat merealisasikan agenda negara, disamping berusaha untuk terus cemerlang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|