Naiktaraf perjawatan di Sembilan IPD

Naiktaraf perjawatan di Sembilan IPD

Penampang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah merancang untuk menaiktaraf perjawatan di sembilan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya sudah mengenalpasti IPD yang perlu dinaiktaraf bukan saja bagi jawatan ketua polis daerah dan timbalannya tetapi juga pegawai kanannya membabitkan ketua bahagian masing-masing.

Katanya, naiktaraf perjawatan itu perlu dibuat berikutan cabaran penugasan di daerah yang kebanyakannya sangat luas.

“Perkara itu sudah dibincangkan bersama dengan Ketua Polis Negara (KPN) dan Pengarah Pengurusan PDRM untuk kenaikan taraf jawatan mengikut kesesuaian daerah di negeri ini.

“Sebagai contoh, IPD Lahad Datu di mana ketua polis berpangkat Asisten Komisioner namun tidak mempunyai timbalan dan terus ke pangkat Asisten Superintendan,” katanya pada sidang media dalam lawatan kerjanya ke IPD Penampang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPK Sabah, Asisten Komisioner Polis, Khalid Saion dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Hazani berkata, antara IPD dikenalpasti adalah Penampang, Tuaran, Beluran, Keningau, Kota Marudu, Semporna dan beberapa daerah lain.

Katanya, begitu juga dengan penyusunan daerah pentadbiran yang perlu dikaji semula bagi memantapkan lagi penugasan polis dalam menjaga keselamatan.

“Saya juga mencadangkan untuk meletakkan daerah Tongod di bawah pentadbiran IPD Beluran yang lebih sesuai berbanding ketika ini di bawah IPD Kinabatangan.

“Sebagai contoh, apabila berlaku kes di daerah Tongod, pasukan IPD Kinabatangan terpaksa melalui Sandakan dan Beluran sebelum sampai ke Tongod, ini akan melambatkan serta menyukarkan tugas polis,” katanya.

Hazani berkata, ini berikutan kedudukannnya yang lebih hampir dan bersesuaian untuk meningkatkan perkhidmatan demi dalam mengekang jenayah.

Sementara itu, Hazani berkata, pihaknya juga akan mencadangkan pewujudan bangunan IPD baharu untuk beberapa daerah.

Katanya, antara IPD yang dikenalpasti adalah Penampang, Tuaran dan Beluran yang memerlukan kemudahan bangunan baharu di lokasi bersesuaian.

“Ini berikutan faktor geografi dan kemudahan yang ada ketika ini tidak lagi sesuai kerana sudah usang serta sesak selain sering dilanda banjir setiap kali hujan.

“Saya sudah berbincang pihak pengurusan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selain meminta bantuan kerajaan negeri untuk menyediakan tempat baharu yang sesuai,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan membawa perkara itu kepada ketua menteri Sabah untuk mengenalpasti tapak lokasi untuk IPD Penampang di kawasan Kampung Ramayah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|