Arthur anggap portfolio baharu sebagai amanah besar

Arthur anggap portfolio baharu sebagai amanah besar

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya sebagai amanah besar yang perlu ditunaikan sebaik mungkin.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu, berkata tanggungjawab baharu itu bukan satu keistimewaan, sebaliknya ia adalah tugas yang berat sejajar usaha menangani isu kesihatan dan memulihkan ekonomi negara.

“Tanggungjawab yang baharu ini bukannya suatu keistimewaan tetapi ia adalah satu amanah yang sangat besar yang saya akan cuba tunaikan dengan terbaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.

“Susulan daripada pesanan Perdana Menteri kita, keutamaan akan diberikan kepada kesihatan dan keselamatan rakyat, kebajikan rakyat serta kelangsungan ekonomi negara.

“Kita akan buat yang terbaik untuk Keluarga Malaysia menghadapi cabaran keadaan dunia sekarang yang luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dalam Kabinet pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, Arthur diamanahkan memegang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Beliau adalah antara enam pemimpin Sabah termasuk dua muka baharu, dengan masing-masing dua memegang portfolio menteri dan empat timbalan menteri diumum membarisi Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Arthur turut merakamkan penghargaan kepada Ismail Sabri kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk menyertai jemaah Kabinet Pusat pimpinannya.

“Melalui tanggungjawab yang baharu ini, saya berjanji akan terus buat yang terbaik dalam apa jua keadaan. Demi Negara Malaysia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|