Tiada kaitan dengan ahli politik

Tiada kaitan dengan ahli politik

Penampang: “Penahanan kumpulan militan Abu Sayyaf di Pulau Timbang, Sandakan, baharu-baharu ini, tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik seperti ditularkan di media sosial,” Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Katanya, sebaliknya ia adalah disebabkan tindakan pemilik atau pengurusan ladang yang menggaji pekerja dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) tanpa tapisan sepatutnya.

Katanya, ia memudahkan ahli Abu Sayyaf untuk melakukan penyamaran disebalik pekerjaan sebagai pekerja biasa sebelum merancang kegiatan jenayah terutamanya penculikan seperti berlaku di Beaufort dan Sandakan.

“Ia sebenarnya berpunca tindakan pemilik ladang atau pengurusan syarikat yang mengambil pekerja warga asing tanpa pemeriksaan sepatutnya.

“Oleh itu, saya nasihatkan pemilik ladang supaya tidak hanya mengutamakan keuntungan tetapi juga menjaga perihal keselamatan diri dan negara,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Hazani berkata, pihak syarikat ladang sepatutnya memastikan pekerja yang diambil mempunyai dokumen lengkap selain mendapat maklumat lengkap identiti sebenar mereka.

Menurutnya, dengan adanya maklumat atau dokumen pekerja yang lengkap, ia boleh dikongsikan dengan pihak berkuasa negara jiran sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Patuhi undang-undang sedia ada kerana majikan yang gagal melakukan tindakan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 55 Akta Imigresen,” katanya.

Insiden membabitkan kumpulan militan Abu Sayyaf sebelum ini tular di media sosial dengan mengaitkannya sebagai pengikut kepada seorang ahli politik di negeri ini.

Hazani bagaimanapun berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan membabitkan dakwaan itu.

Katanya, orang ramai diminta menghentikan penularan berita tidak sahih berkenaan kerana ia boleh menggusarkan masyarakat di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|