Tugas jaga hal ehwal Sabah, Sarawak tanggungjawab penting – Maximus

Tugas jaga hal ehwal Sabah, Sarawak tanggungjawab penting – Maximus

Kota Kinabalu: Tugas menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai tanggungjawab penting dan strategik terutama bagi meneruskan perjuangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, sehubungan itu berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana diberi peluang sekali lagi memegang tugas itu dalam Kabinet persekutuan.

Beliau yang dilantik semula sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), berkata isu berkaitan MA63 penting kerana sering menjadi perbincangan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang berharap tuntutan mengenainya dapat ditunaikan.

“Terdapat banyak usaha yang sudah dilakukan, terutama sekali dalam mengenal pasti isu-isu untuk diselesaikan serta pelan tindakan yang telah disusun, terutamanya perkara yang memerlukan penggubalan dasar, peraturan, perundangan dan erlembagaan.

“Saya sedia untuk bekerjasama erat dengan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah serta Sarawak untuk menjayakan segala perancangan dan pelan tindakan yang akan dikenal pasti dan dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinannya berhubung komitmen Kabinet baharu pimpinan Ismail Sabri dalam menumpukan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 serta perkara yang berkaitan untuk diselesaikan sepenuhnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|