Virtual fun run and ride sempena 100 tahun SMK Labuan

Virtual fun run and ride sempena 100 tahun SMK Labuan

Labuan: Kelab Kebajikan Staf (KKS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan akan menganjurkan Virtual Fun Run and Ride (VFRR) sempena Sambutan 100 Tahun SMK Labuan 1921 – 2021.

Program berkenaan membabitkan acara larian sejauh lima kilometer atau berbasikal sejauh 20 kilometer yang dilaksanakan bermula 16 November hingga 30 November depan di mana-mana lokasi pilihan peserta.

Acara secara ‘maya’ itu membolehkan peserta memilih waktu yang sesuai dengan kelapangan masa masing-masing.

Pendaftaran secara dalam talian dibuka bermula 22 Oktober hingga 30 Oktober ini untuk membolehkan peserta menyertai dengan harga ‘Early Bird’ manakala pendaftaran bermula 1 November hingga 14 November depan akan dikenakan harga normal.

Setiap peserta yang mendaftar akan mendapat sehelai tshirt ‘Finisher’, medal dan sijil penyertaan digital.

Cabutan bertuah juga diadakan dengan tawaran hadiah seperti jam tangan pintar, barangan elektrik, ‘handsfree bluetooth’, baucer kasut sukan, hamper dan sebagainya.

Pengetua SMK Labuan, Ismail Abdullah, berkata program berkenaan bertujuan memeriahkan Sambutan 100 Tahun SMK Labuan yang tidak dapat diadakan secara besar-besaran disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Beliau berharap agar acara itu mendapat sambutan daripada semua lapisan masyarakat, termasuk bekas pelajar SMK Labuan, penduduk setempat, masyarakat luar Labuan dan sesiapa sahaja yang berminat dalam acara larian dan berbasikal walau di mana mereka berada.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Kebajikan Staf (KKS) SMK Labuan, Azlan Tumingan, berkata AJK KKS berusaha untuk memastikan penganjuran acara VFRR itu berlangsung dengan jayanya.

Beliau juga mengharapkan penglibatan ramai peserta dengan sasaran awal seramai 500 orang sejajar galakan kepada masyarakat untuk membabitkan diri dalam aktiviti kecergasan dan kesihatan.

Maklumat lanjut mengenai program berkenan boleh dirujuk dalam laman web https://sites.google.com/moe-dl.edu.my/smklabuan100tahun/home.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|