Kota Kinabalu: Sebuah kontena sepanjang 12 meter berisi minuman keras tidak bercukai dirampas dalam operasi Op Kontraban di KKIP Timur, di sini, kelmarin.
Dalam operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) Tiger Platon Batalion 16 dan cawangan perisikan Ibu Pejabat Briged Sabah pada 10 malam itu, kontena berkenaan dikesan ditinggalkan bersama sebuah lori treler dalam keadaan berkunci tanpa penjaga.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan berdasarkan kepada maklumat awam.
Katanya, selepas pemerhatian selama tiga jam, pasukan operasi terus melakukan serbuan dan membuka kontena berkenaan untuk pemeriksaan.
Anggota PGA membuka kontena berisi minuman keras tidak bercukai. Gambar ihsan PGA Sabah
“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui 1,890 karton minuman keras jenama Cool Beer disyaki tidak bercukai bernilai RM475,883.
“Semua minuman keras berkenaan kemudiannya dirampas dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Minuman keras tanpa cukai yang dirampas PGA dalam Op Kontraban di KKIP Timur, Kota Kinabalu. Gambar ihsan PGA Sabah
Abdul Rani berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori treler dan kontena dianggarkan bernilai RM595,833 berdasarkan harga pasaran semasa.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.
-Deasoka