UMS Shields pantau kesihatan pelajar

UMS Shields pantau kesihatan pelajar

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) membangunkan sistem aplikasi UMS Shields bagi membantu memantau dan mengesan tahap kesihatan pelajar yang kembali ke kampus universiti itu bermula 15 Oktober lalu.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata sistem itu adalah antara langkah bagi memastikan pelajar yang kembali ke kampus berada dalam keadaan selamat berikutan pandemik Covid-19 yang masih berlaku.

Katanya, sistem aplikasi yang dibangunkan kumpulan penyelidik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Pusat Pengurusan Data dan Maklumat (PPDM) UMS itu digunakan di kampus induk UMS Kota Kinabalu, Kampus Cawangan Sandakan dan Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

“Sistem aplikasi berasaskan web ini mampu membantu mengenal pasti risiko seseorang berdasarkan gejala dan sejarah pendedahan yang hanya membenarkan individu memasuki dan bekerja di UMS sekiranya berisiko rendah.

“Selain itu, sistem ini juga digunakan bagi pemantauan gejala harian dan pemantauan kendiri oleh semua pelajar yang kembali dan menetap di asrama kampus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan mengenai usaha UMS mengekang penularan pandemik Covid-19 berikutan kemasukan semula pelajar berkeperluan ke kampus.

Taufiq berkata, sistem itu juga dipantau oleh Pusat Kesiapsagaan dan Tindakan Covid-19 (PKTC) UMS bagi pengesanan awal gejala dan pengasingan pelajar untuk mencegah penularan wabak yang cepat dalam persekitaran asrama.

“Sistem aplikasi ini mempunyai satu modul dikenali sebagai UMS Passport yang berfungsi mengesan lokasi seseorang sepanjang berada dalam kampus dan sistem ini juga boleh beroperasi bersama aplikasi Smart Hadir yang dibangunkan untuk membantu pendaftaran kehadiran pelajar di kelas menggunakan pengimbasan kod QR.

“Dengan pengesanan lokasi individu, modul UMS Passport ini boleh membantu pihak PKTC UMS dalam melakukan pengesanan kontak sekiranya terdapat kes positif dalam kalangan pelajar dan staf,” katanya.

Seramai 5,268 pelajar termasuk 13 pelajar dari luar negara disenaraikan sebagai pelajar berkeperluan untuk kembali ke kampus, membabitkan seramai 4,847 pelajar di kampus Kota Kinabalu, 219 pelajar di UMSKAL dan 202 pelajar di kampus Cawangan Sandakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|