Juragan bersama 7 warga Filipina diusir

Juragan bersama 7 warga Filipina diusir

Semporna: Sebuah perahu bersama juragan dan tujuh individu dipercayai warga Filipina diusir ketika menceroboh masuk perairan negara di perairan Pulau Siamil, di sini, semalam.

Semua mereka diusir oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna, ketika melakukan rondaan bergerak pada jam 9.50 pagi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, ketika bot tempur PPM Semporna menjalankan rondaan bergerak menahan dan memeriksa sebuah perahu tiada nombor pendaftaran yang dijuragani seorang lelaki warga Filipina.

Katanya, hasil pemeriksaan perahu itu terdapat lima lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki warga Filipina.

“Hasil pemeriksaan mendapati juragan serta semua tujuh individu terbabit tidak mempunyai sebarang pas perjalanan yang sah berasal dari Sitangkai, Filipina dan telah memasuki perairan negara.

“Pengusiran dilakukan dan perahu mereka diiringi keluar dari perairan negara serta diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Justeru itu, Mohammad berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggari undang-undang.

“Orang ramai boleh secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah atau di talian 0139391197,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|