Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah AIRKU (STAR) mahu pindaan cadangan Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dengan Semenanjung diperincikan dengan sebaik mungkin.
Berikutan itu, Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata pihaknya mengalu-alukan langkah menangguhkan pembentangan usul rang undang-undang (RUU) pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini dijadual dalam sesi persidangan Parlimen kali ini.
Beliau berkata penangguhan itu membolehkan perincian berhubung pindaan berkenaan dilakukan dengan sebaik mungkin memandangkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang memberi kesan kepada negeri Borneo adalah isu yang kontroversi dan kompleks.
“Lebih banyak masa diperlukan untuk memastikan pindaan ini ditangani dengan berhati-hati. Kita tidak mahu pindaan itu hanya berbentuk luaran sahaja.
“Cadangan pindaan itu perlu menghasilkan keputusan yang dapat mengukuhkan persekutuan dan definisi yang jelas mengenai rakan setara dalam kalangan tiga entiti yang membentuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Keningau itu berkata beliau kekal berpandangan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada asasnya adalah pengambilalihan Tanah Melayu terhadap koloni British iaitu Sarawak dan Borneo Utara (Sabah).
Beliau menegaskan bahawa perjanjian antarabangsa yang diatur pihak British dan kerajaan Tanah Melayu itu tidak mencerminkan aspirasi sebenar rakyat Sabah ketika ia ditandatangani pada 9 Julai 1963 sebelum proses pembentukan Malaysia selesai pada 16 September tahun yang sama.
“Sebab itu saya mencadangkan kita perlu bergerak ke hadapan berpandukan Proklamasi Malaysia pada 16 September 1963 yang mana mengambil kira kemerdekaan dan pemerintahan sendiri Sabah,” katanya.
Sementara itu, Jeffrey mengkritik artikel diterbitkan sebuah portal yang tidak menulis dengan tepat berhubung konsep rakan setara apabila menyatakan pindaan perlembagaan dilakukan untuk memberikan Sabah dan Sarawak status setara dengan negeri di Semenanjung.
“Pemikiran seumpama inilah yang perlu ditangani dan kita berharap pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat ini akan dengan jelas menggambarkan status setara negeri Borneo, bukan dengan negeri di Malaya (Semenanjung) tetapi dengan Persekutuan Tanah Melayu.
“Ini jelas dinyatakan dalam Proklamasi Malaysia dan perenggan 10 dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.
-Deasoka