Judi tidak berlesen, 14 premis dipotong bekalan elektrik

Judi tidak berlesen, 14 premis dipotong bekalan elektrik

Tuaran: Berselindung di sebalik perniagaan biasa, 14 premis di sini diputuskan elektrik selepas didapati menjalankan kegiatan judi tanpa lesen, semalam.

Operasi selama lapan jam yang bermula jam 9 pagi itu membabitkan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Anggota polis dan SESB melakukan pemotongan elektrik di salah sebuah premis yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian. Gambar ihsan IPD Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, operasi pemotongan bekalan elektrik dijalankan terhadap masing-masing empat premis di pekan Tuaran dan Taman Seri Rugading serta tiga di Taman Telipok Ria.

Selain itu katanya, operasi turut memutuskan bekalan elektrik terhadap dua premis di Taman Telipok Square dan satu premis di Tamparuli yang dikenalpasti menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

“Pemotongan bekalan elektrik ini dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 kerana menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.

“IPD Tuaran akan terus menjalankan operasi dalam usaha membanteras aktiviti perjudian tanpa lesen daripada terus berleluasa di daerah ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Hamizi berkata, pihaknya akan memastikan risikan dan operasi dijalankan dari semasa ke semasa.

Bekalan elektrik di sebuah premis dipotong kerana menjalankan kegiatan perjudian haram. Gambar ihsan IPD Tuaran.

Katanya, sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 76 serbuan dijalankan dan 90 individu berjaya ditangkap.

“Sepanjang tempoh itu, nilai rampasan seperti telefon bimbit, mobil printer dan wang tunai yang berjaya dirampas dianggarkan mencecah RM120,000,” katanya.

Sehubungan itu, Hamizi berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan promosi sindiket perjudian atas talian.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya menghindari pengaruh ejen-ejen perjudian yang kononnya mampu menggandakan pendapatan dengan melabur dalam aktiviti perjudian.

“Orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti premis perjudian haram di daerah ini supaya tindakan segera dapat diambil.

“Polis IPD Tuaran sentiasa mengambil perhatian yang serius dan tindakan ke atas premis – premis perjudian yang beroperasi secara haram,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|