Semua pihak perlu sama-sama perjuangkan autonomi dan hak Sabah

Semua pihak perlu sama-sama perjuangkan autonomi dan hak Sabah

Kota Kinabalu: Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) menyokong gesaan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang meminta semua pihak di negeri ini, termasuk parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama memperjuangkan autonomi Sabah dan hak rakyat negeri ini.

Presidennya, Tan Sri TC Goh, berkata beliau juga bersetuju dengan penegasan Dr Jeffrey bahawa sebarang perubahan perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi kesan kepada negeri Borneo perlu dipersetujui kerajaan negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding menteri persekutuan sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Beliau juga berpendapat bahawa kerajaan persekutuan mesti sentiasa menghormati pendirian dan keputusan rakyat Sabah serta Sarawak.

“Keputusan yang dibuat mengikut prosedur demokrasi dapat mengelak pertelingkahan atau perbalahan yang tidak diingini pada kemudian hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Goh yang juga Presiden Gahungan Persatuan Hokkien Sabah dan Labuan (FSLHA), berkata demikian sebagai mengulas kenyataan terbaharu Jeffrey berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata, sebarang keputusan yang dibuat sama ada oleh parti politik atau NGO berkaitan dengan perubahan perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi kesan kepada negeri Borneo, seharusnya dilakukan atas kepentingan kedua-dua negeri.

“Saya juga mengalu-alukan dan menyokong cadangan pindaan perkataan dalam Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan sebenar negeri Borneo sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Goh yang juga ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC), berkata beliau turut bersetuju dengan kenyataan Jeffrey bahawa pindaan yang betul terhadap Perlembagaan Persekutuan membolehkan Sabah mencapai autonomi politiknya dan mendapatkan hasil kutipan cukai yang menjadi bahagiannya.

Katanya, ia sekali gus dapat meningkatkan kapasiti kewangan Sabah secara signifikan untuk membangunkan dengan lebih baik kemudahan infrastruktur negeri, selain pembangunan dalam pelbagai sektor.

Beliau menekankan, sebagai seorang rakyat Sabah dan komponen negeri ini, FCAS menyokong penuh cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam hal berkaitan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan berharap ia diluluskan sepenuhnya oleh penggubal undang-undang di kedua-dua belah pihak, secepat yang boleh.

Goh yang juga Presiden Persatuan Cina Malaysia (Huazong) turut mencadangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan rakannya yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili supaya bersama-sama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk mengendalikan kajian terperinci mengenai cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lancar dan berjaya tanpa sebarang penangguhan lanjut.

Beliau berkata, rakyat Sabah dan Sarawak sudah tidak sabar untuk melihat isu pengembalian kedudukan sebenar kedua-dua negeri dalam Persekutuan Malaysia seperti dipersetujui dalam MA63 yang sudah berlarutan dimuktamadkan sepenuhnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|