Lee Chong Wei dilantik jadi duta pelancongan Sabah

Lee Chong Wei dilantik jadi duta pelancongan Sabah

Kota Kinabalu: Bekas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dilantik menjadi duta pelancongan Sabah bagi tempoh Oktober hingga Disember tahun hadapan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pelantikan itu dilaksanakan berdasarkan kepada reputasi beliau yang masyhur di pentas antarabangsa.

Katanya, sejarah memenangi pelbagai kejohanan dunia dan mempunyai ramai peminat di seluruh dunia dijangka mampu menarik perhatian ramai pelancong untuk datang ke negeri Sabah.

“Chong Wei mempunyai ramai peminat bukan saja di negara-negara Asean tetapi juga negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), China, Korea Selatan, Denmark dan United Kingdom.

“Semua negara ini adalah sebahagian daripada pasaran yang menjadi pemangkin kepada kemajuan pelancongan di Sabah selepas pandemik Covid-19,” katanya ketika berucap pada majlis pelantikan Lee Chong Wei sebagai Duta Pelancongan Sabah.

Jafry berkata, pelantikan berkenaan sekaligus menjadi berita baik kepada pengusaha pelancongan di negeri ini untuk meraih pulangan yang baik.

Katanya, pihak kementerian amat yakin, peranan Chong Wei akan mampu melonjakkan industri pelancongan di Sabah.

“Sabah terkenal dengan kekayaan alam semulajadi yang bukan saja dihargai semua pihak tetapi juga mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) khazanah dunia.
 
“Malah, kerjasama dengan Duta Pelancongan akan membantu menggalakkan aliran pelancongan ke negeri ini dan mewujudkan rasa ingin tahu serta minat terhadap banyak destinasi di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Chong Wei ketika ditemui berkata, beliau berharap akan mampu membantu meningkatkan lagi industri pelancongan Sabah.

Katanya, industri pelancongan amat terjejas sejak hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

“Saya tahu Sabah sebuah tempat yang sangat popular, sebelum ini, apabila saya pergi ke China atau Taiwan dan negara-negara lain, ramai orang berkata mengenai Sabah.

“Negeri ini sangat cantik dan mudah-mudahan saya akan dapat membawa seluruh keluarga saya bercuti di sini seterusnya membantu mempromosikan pelancongan yang ada di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|