Pengguna perlu sedar hak mereka – Shahelmey

Pengguna perlu sedar hak mereka – Shahelmey

Kota Kinabalu: Masyarakat di Sabah perlu diberi pendedahan mengenai hak-hak pengguna bagi meningkatkan kesedaran mereka sebagai pengguna.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata program mengenai kesedaran pengguna perlu terus dilakukan.

“Isu-isu kepenggunaan dan kempen kesedaran mengenai hak-hak pengguna perlu terus dilakukan bagi mendidik masyarakat mengenai hak mereka sebagai pengguna.

“Ini juga penting supaya peniaga sedar mengenai tanggungjawab mereka terhadap pengguna,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Gerakan Pengguna Negeri Sabah yang pertama bagi Tahun 2021, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah merangkap Pengerusi Gerakan Pengguna Negeri Sabah (GPN) Georgie Abas.

Shahelmey berkata kempen kesedaran hak pengguna adalah antara usaha bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan terutamanya ketikatempoh pandemik.

“Kita sedaya upaya membantu kerajaan dan orang ramai mendepani isu-isu pengguna agar bebanan kesan daripada pandemik tidak terlalu mendalam terutama kepada ekonomi negara dan secara khususnya kepada orang awam.

“Ia juga untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dalam penetapan harga barang jualan yang tidak munasabah ketika tempoh pandemik,” tegasnya.

Shahelmey yang juga Pengerusi Bersama GPN Sabah dan Ahli Majlis Gerakan Pengguna Kebangsaan (MGPK), berkata KPDNHEP akan selalu membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap peniaga yang ingkar .

“Masih terdapat segelintir peniaga yang tidak meletakkan tanda harga pada barangan jualan mereka.

“Pihak KPDNHEP sentiasa melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap perkara ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|