Kota Kinabalu: Empat daerah mencatat peningkatan ketara kes Covid-19 yang secara tidak langsung menyumbang kepada kenaikan kes baharu di Sabah hari ini.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah terbabit ialah Kinabatangan, Kota Kinabalu, Putatan dan Tambunan.
Katanya, empat daerah itu juga adalah antara 13 daerah yang dikenal pasti merekodkan peningkatan kes baharu pada hari ini berbanding jumlah kes yang dicatat semalam.
“Jumlah kes di Sabah mencatatkan sedikit peningkatan hari ini, iaitu sebanyak 20 kes. Ini menjadikan jumlah kes baharu sebanyak 585 kes.
“Sebanyak 13 daerah mencatatkan pertambahan kes dengan empat daripadanya merekodkan peningkatan yang agak ketara iaitu Kinabatangan (+25 kes), Kota Kinabalu (+15 kes), Putatan (+13 kes) dan Tambunan (+11 kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 12 daerah lagi mencatat penurunan kes dengan dua daripadanya merekodkan penurunan signifikan iaitu Ranau yang turun 28 kes dan Keningau, turun 19 kes, hari ini.
Katanya, daripada keseluruhan kes baharu hari ini, sebanyak 206 kes atau 35.21 peratus adalah jangkitan yang berpunca daripada saringan bergejala, iaitu kategori yang sinonim dengan kes sporadik.
“Kes-kes dalam kategori ini sering dikaitkan dengan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Walaupun jumlah kes harian mencatatkan penambahan tetapi 97.44 peratus daripada jumlah kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2.
“Sebanyak enam kes lagi dalam Kategori 3, satu kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5. Sebanyak tujuh kes lagi masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.
-Deasoka