KPD terus diperkasa bangunkan sektor pertanian

KPD terus diperkasa bangunkan sektor pertanian

Kota Kinabalu: Korporasi Pembangunan Desa (KPD) akan terus diperkasa sebagai agensi kerajaan negeri yang menyokong pembangunan sektor pertanian melalui peningkatan hasil dan produk pertanian di samping membantu pemasaran hasil golongan petani, penternak dan nelayan di Sabah.

Pengerusinya, Datuk Raimie Unggi, berkata pelbagai usaha dirancang dan akan dilaksanakan bagi memenuhi tanggungjawab itu termasuk mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan persekutuan.

Pengerusi KPD, Datuk Raimie Unggi meninjau aktiviti pemasaran hasil pertanian di pasar harian dan pasar segar Kompleks Pemasaran KPD, Tanjung Lipat.

“Kita akan berusaha agar ada hubungan dua hala atau kerjasama di antara negeri dan persekutuan untuk memantapkan KPD sebagai jenama pilihan rakyat nombor satu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak pasar harian dan pasar segar KPD di Kompleks Pemasaran KPD, Tanjung Lipat, di sini, hari ini.

Pengerusi KPD, Datuk Raimie Unggi dan Pengurus Besar KPD, Jamilah Lee melawat tapak pasar harian dan pasar segar di Kompleks Pemasaran KPD, Tanjung Lipat.

Raimie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik diiringi Pengurus Besar KPD, Jamilah Lee meninjau aktiviti penjualan hasil pertanian di pasar terbabit.

KPD adalah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri yang bertanggungjawab dalam pembangunan sektor pertanian menyediakan peluang perniagaan kepada masyarakat petani, memproses dan memasar produk keluarannya sendiri dan mengusahakan ladang kontrak bersama petani.

Datuk Raimie Unggi sempat berbual dengan salah seorang peniaga.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kemudahan yang disediakan KPD di Kompleks Pemasaran KPD Tanjung Lipat, Raimie berkata ia dapat memberi peluang kepada peniaga yang terdiri daripada petani dan nelayan untuk memasarkan produk hasil tani atau produk mereka.

“Di samping itu, kemudahan yang disediakan juga memudahkan pengguna untuk membeli hasil tani dan laut.

“Secara tidak langsung, ia akan meningkatkan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi khususnya sektor pertanian,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|