Sebabkan kematian suami kekasih, buruh dipenjara 16 tahun

Sebabkan kematian suami kekasih, buruh dipenjara 16 tahun

Tawau: Seorang pekerja ladang dijatuhi hukuman penjara 16 tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian suami kekasihnya, tiga tahun lalu di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Dr Lim Hock Leng menjatuhi hukuman itu terhadap Iwan Razali, 24, selepas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (KK) dibacakan jurubahasa mahkamah.

Sebelum ini, tertuduh berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Tertuduh diberi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan selepas surat representasi dari peguambela diterima dan dipersetujui Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, Hock Leng dalam keputusannya menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun terhadal tertuduh selepas bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan, sekali gus tertuduh terlepas daripada hukuman gantung sampai mati.

Hakim berkata, walaupun tertuduh mengaku salah namun mahkamah mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa (si mati).

“Kecederaan mangsa terlalu banyak iaitu 41 kesan tikaman di seluruh anggota badan selain tangan kiri mangsa turut putus,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran iaitu penjara selama tempoh 16 tahun dari tarikh tertuduh ditangkap.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Amir Mappiase, 35, di rumah bernombor W010, Blok 3, Kampung Murai, Ladang Kretam Kalabakan, di sini, antara 11.30 pagi hingga 12 tengah hari pada 4 Mei 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam Ram Singh Harban Singh dan Kamaruddin Chinki.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|