Tawau: Seorang warga emas dihukum penjara 10 tahun manakala isterinya dibebaskan tanpa dilepaskan selepas didapati bersalah memiliki 30.75 gram methamphetamine, di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh, Hashim Sahipa, 80, dijatuhkan hukuman berkenaan bermula tarikh direman 18 Disember tahun lalu, selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh bersama isterinya Roaina Ali, 70, memiliki dadah di sebuah rumah tidak bernombor Kampung Batu, Semporna, pada jam 4 petang, 17 Disember tahun lalu.
Pasangan warga Filipina itu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang lima tahun dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.
Dalam pendakwaan berkenaan, Hashim mengaku memiliki dadah berkenaan, manakala Roaina tidak mengaku bersalah.
Hashim dalam pengakuannya mendakwa dadah berkenaan miliknya dan tidak ada kaitan dengan Roaina.
Terdahulu, pasangan ini didakwa mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mereka ditahan pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang menemui 57.04 gram hablur putih dipercayai methamphetamine dalam serbuan di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, mahkamah membuat pindaan pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) selepas laporan kimia mendapati berat sebenar methamphetamine yang dirampas adalah 30.75 gram.
Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata, tanpa mengira usia tua atau muda, perbuatan tertuduh memiliki dan mengedar dadah adalah salah dan hukuman sewajarnya dijatuhkan keatas tertuduh sebagai pangajaran kepada semua pihak.
Bagaimanapun, Mahkamah mempertimbangkan tidak mengenakan hukuman sebatan mengambil kira faktor usia dan kesihatan tertuduh.
Roaina seterusnya akan dirujuk kepada Imigresen atas kesalahan tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya(DPP) Moh Suahimi Suriana manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-Deasoka