Varieti padi berhasil tinggi diperkenalkan di Sabah

Varieti padi berhasil tinggi diperkenalkan di Sabah

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah akan bekerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia (MNA) bagi memperkenalkan varieti padi baharu NMR152 di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata sebagai permulaan varieti padi baharu itu akan diperkenalkan di Tambunan.

“Ini adalah varieti padi berpenghasilan tinggi yang mampu mengeluarkan 10 tan metrik padi sehektar berbanding hanya dua ke tiga tan sehektar dengan benih padi biasa.

“Ia juga adalah varieti padi yang tahan terhadap serangan penyakit termasuk ‘tungro’ yang dikenal pasti berleluasa di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata melalui kerjasama itu, MNA akan menyediakan benih, baja bio dan racun perosak yang diperlukan, selain melaksanakan pemprofilan tanah bagi menjamin pertumbuhan maksimum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu berkata, projek itu berpotensi untuk membantu menyelesaikan masalah tahap sara diri tanaman padi yang masih rendah di Sabah.

“Sebagai bonus, varieti ini kurang menggunakan racun perosak dan menggunakan baja yang mesra alam sekitar.

“Kita perlu memastikan bahawa perladangan kita bergerak ke arah perladangan secara organik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|