UMNO tetap bertanding di Parlimen Beaufort

UMNO tetap bertanding di Parlimen Beaufort

Beaufort: UMNO Bahagian Beaufort mengulangi pendiriannya menuntut kerusi tradisinya di Parlimen Beaufort untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua bahagiannya, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata kerusi berkenaan secara tradisinya ditandingi UMNO pada setiap pilihan raya dan disebabkan itu, parti berkenaan tidak akan berganjak daripada pendirian berkenaan.

Awang Aslee merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Beaufort.

“Inilah pendirian bahagian untuk bertanding di kerusi tradisi parti di kawasan ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan bahagian Beaufort di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, di sini, semalam.

Awang Aslee berkata, pendirian untuk mempertahankan kerusi berkenaan juga sebagai memenuhi tuntutan dan aspirasi akar umbi parti.

Sebahagian jemputan dan perwakilan yang menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Beaufort.

Beliau yang juga Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah berkata kekuatan UMNO adalah kerana kesetiaan dan perjuangan ahli di peringkat akar umbi.

“Mereka adalah tunjang kekuatan dan kebangkitan semula UMNO dan ia merupakan asas kukuh untuk kita menuntut kerusi Parlimen Beaufort ini supaya ditandingi calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO,” tegasnya.

Pada PRU lalul, kerusi Parlimen Beaufort dimenangi Datuk Azizah Mohd Dun atas tiket BN daripada UMNO namun kemudian meninggalkan parti dan menyertai BERSATU bersama beberapa lagi bekas pemimpin UMNO Sabah pada akhir 2018.

Sementara itu, Awang Aslee mengingatkan ahli UMNO supaya terus memperkasakan jentera parti di semua peringkat termasuk cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi membolehkan parti sentiasa siap siaga menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

“Kita perlu bersiap sedia selain sentiasa setia kepada parti, komited dan memiliki kekuatan. Ini merupakan faktor penting untuk kita menuntut kerusi tradisi parti di kawasan Parlimen Beaufort ini,” katanya.

Katanya, pendirian bahagian itu untuk kekal bertanding di kerusi berkenaan pada PRU-15 juga dijadikan antara usul pada persidangan perwakilan bahagian berkenaan kali ini.

Selain itu, UMNO Beaufort juga membuat ketetapan untuk terus menyokong kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi; Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|