Vaksinasi zon pedalaman berjalan lancar

Vaksinasi zon pedalaman berjalan lancar

Keningau: Proses vaksinasi zon pedalaman di negeri ini berjalan lancar dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Kurup berkata, mengikut rekod, sehingga 18 Jun lalu, penerima vaksin bagi Zon Pedalaman Sabah membabitkan daerah Keningau, Nabawan, Tenom dan Tambunan sudah mencapai sebanyak 28,140 penerima untuk dos pertama.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 11,755 orang sudah lengkap menerima suntikan dos kedua untuk vaksinasi berkenaan.

“Ini menunjukkan kadar vaksinasi adalah 10.44 peratus bagi dos pertama dan 4.18 peratus bagi dos kedua, daripada populasi Sabah.

“Jumlah itu membabitkan lima PPV di kawasan Parlimen P 182 Pensiangan yang beroperasi iaitu Klinik Kesihatan Nabawan, Dewan Masyarakat Sook, Balai Budaya Salarom Taka, Klinik Kesihatan Pagalungan dan Klinik Kesihatan Pensiangan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Arthur berkata, pembukaan PPV di Dewan Masyarakat Sook yang mula beroperasi, semalam, pula dijangka mampu mencapai kapasiti sehingga 400 dos suntikan dalam sehari.

Katanya, ini membolehkan lebih ramai masyarakat di Daerah Kecil Sook dan kawasan sekitarnya mendapatkan suntikan.

“Ini akan dapat meningkatkan lagi kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat khususnya di kawasan pedalaman Sabah dengan lebih cepat.

“Permohonan kepada Jawatankuasa Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 sudah dibuat bagi membuka satu lagi PPV di Daerah Nabawan iaitu di Dewan Masyarakat Nabawan untuk menampung bilangan penduduk yang ramai.

“Bagi kawasan terpencil yang kurang akses perhubungan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Daerah akan mengadakan program outreach secara berkala bagi memastikan penduduk di kawasan berkenaan mendaftar dan mendapatkan vaksin,” katanya.

Arthur berkata, walaupun terdapat peningkatan jumlah penerima namun masih terdapat ramai penduduk luar bandar yang belum menerima vaksinasi berkenaan atas faktor komunikasi dan perhubungan.

Datuk Arthur Kurup membuat lawatan
ke PPV Sook.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|