Warga emas 100 tahun terima suntikan vaksin

Warga emas 100 tahun terima suntikan vaksin

Keningau: Seorang wanita berusia 100 tahun menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kecil Sook, di sini, yang dibuka bermula semalam.

Kuyinin Balansing dari Kampung Kabatang Baru, Tulid antara 78 penerima pertama vaksin Covid-19.

Kehadiran wanita warga emas itu menarik perhatian petugas PPV dari Klinik Kesihatan Sook yang kemudian memuat naik gambar serta catatan ringkas mengenai program imunisasi di PPV berkenaan melalui laman Facebook klinik berkenaan.

Hantaran mengenainya mendapat reaksi positif netizen yang rata-rata memuji kerana tampil menerima vaksin.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, ketika meninjau PPV berkenaan semalam, berkata, pembukaan PPV itu adalah antara langkah proaktif kerajaan bagi memastikan rakyat luar bandar mendapat vaksin Covid-19 secepat mungkin.

“Pembukaan PPV ini memudahkan penduduk dari kawasan pedalaman hadir menerima vaksin, selain membolehkan masyarakat luar bandar mendapat maklumat yang sahih mengenai program vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Malah, mana-mana penduduk yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin akan didaftarkan terus tanpa melalui aplikasi MySejahtera,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook.

Ellron turut menyumbangkan sebuah komputer riba dan dua unit pengesan suhu untuk kegunaan petugas barisan hadapan di PPV berkenaan yang diterima Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau, Dr Mohd Norhaizam Ahmad.

PPV Sook yang beroperasi di Dewan Masyarakat Sook memudahkan penerima vaksin dari sekitar daerah kecil itu dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid hadir ke pusat vaksin berkenaan berbanding ke PPV di pekan Keningau yang jaraknya kira-kira 40 kilometer dari Sook.

Sook dan Tulid yang berada dalam Parlimen Pensiangan adalah antara kawasan di pedalaman Sabah yang ramai penduduknya tinggal di perkampungan terpencil dan masih berdepan masalah perhubungan.

Warga emas Warga tua berusia 100 tahun, Kuyinin Balansing, selepas menerima vaksin Covid-19 di PPV Sook, Keningau.
Datuk Ellron Angin (tiga dari kiri) menyerahkan komputer riba kepada Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau, Dr Mohd Norhaizam Ahmad untuk kegunaan petugas di PPV Sook.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|