PGA Sabah rampas arak, rokok bernilai RM4.5 juta

PGA Sabah rampas arak, rokok bernilai RM4.5 juta

Penampang: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 berjaya merampas rokok dan minuman keras bernilai RM4.5 juta dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Limbanak, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 4.30 petang itu, semua barangan yang dipercayai diseludup masuk berkenaan didapati disembunyikan di dalam 10 stor kontena.

Komander Briged Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejayaan operasi ‘Op Kontraban’ itu adalah hasil risikan pasukan task force perisikan Batalion 16 sejak April lalu dan maklumat orang awam.

Katanya, hasil serbuan, pihaknya berjaya menahan empat lelaki berusia lingkungan 22 hingga 34 tahun.

“Siasatan lanjut mendapati dua daripada mereka adalah warga tempatan manakala dua lagi warga negara Indonesia yang masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Selain itu, barangan seludup yang dirampas pula membabitkan pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang dianggarkan bernilai hampir RM4.5 juta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua individu yang ditangkap diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

Manakala katanya, barang-barang yang dirampas pula akan dihantar ke stor berpusat barang kes IPD Kota Kinabalu selepas selesai proses dokumentasi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Semua suspek akan direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 KPJ dan siasatan lanjut dijalankan oleh IPD Penampang,” katanya.

Kontena berisi minuman keras yang dirampas anggota PGA Batalion 16 Sabah.
Anggota PGA Batalion 16, menyerbu premis yang menyimpan minuman keras dan rokok tanpa cukai di Limbanak, Penampang.
Kontena berisi minuman keras yang dirampas anggota PGA Batalion 16 Sabah.


-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|