Usahawan kraf Sabah kutip hasil jualan RM1.1 juta

Usahawan kraf Sabah kutip hasil jualan RM1.1 juta

Kota Kinabalu: Usahawan kraf di Sabah berjaya meraih RM1.1 juta jumlah hasil jualan pelbagai produk kraftangan tempatan sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Cawangan Sabah, Fazlin Mohamad Zaki, berkata kutipan berkenaan adalah hasil jualan secara dalam talian.

Katanya, produk kraftangan usahawan kraf dipasarkan secara dalam talian menggunakan pelantar MyCraftShoppe dan E-Kraf Bazar yang dikendalikan Kraftangan Malaysia.

“Ini satu pencapaian positif usahawan kraf di negeri ini walaupun kita masih dalam situasi pandemik Covid-19.

“Kita berharap hasil jualan ini terus meningkat bukan saja menerusi pasaran dalam talian malah melalui pemasaran secara fizikal memandangkan kerajaan sudah membenarkan pembukaan pelbagai sektor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat gerai usahawan kraf sempena Promosi Kraf Malaysia 2021 di pusat beli-belah Suria Sabah, di sini, hari ini.

Seramai 43 usahawan dan komuniti kraf mewakili pelbagai bidang termasuk hasil rimba, logam dan tekstil terbabit dalam program yang berlangsung 12 hari itu, bermula hari ini sehingga 30 November nanti.

Selain jualan kraf, aktiviti lain yang turut diadakan sempena program itu ialah pameran produk kraf baharu, pameran MyCraftShoppe dan pertandingan fotografi serta video kraf.

Dalam pada itu, Fazlin berkata pihaknya menyasarkan hasil jualan sebanyak RM200,000 sepanjang kira-kira dua minggu program promosi berkenaan.

Katanya, program berkenaan adalah promosi kraftangan secara fizikal yang pertama diadakan pihaknya pada tahun ini.

Sementara itu, Fazlin turut memaklumkan lebih 30 usahawan kraf Sabah bakal terbabit dalam Program Komuniti Kraf Malaysia yang diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 1 hingga 6 Disember depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|