3,960 penduduk asal Sabah mengundi pada PRN Melaka esok

3,960 penduduk asal Sabah mengundi pada PRN Melaka esok

Melaka: Seramai 3,960 penduduk berasal dari Sabah tersenarai sebagai antara pemilih berdaftar di Melaka yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

Kebanyakan mereka sudah lama menetap di negeri ini bersama ahli keluarga masing-masing kerana bekerja dalam sektor awam atau swasta dan memilih untuk menjadi pengundi berdaftar di Melaka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata sebagai sebahagian penduduk Melaka, pengundi berasal dari Sabah perlu membuat pilihan bijak dalam menentukan kerajaan baharu Melaka.

Katanya, pilihan yang tepat penting bukan saja untuk masa depan mereka di negeri ini, malah turut berkait rapat dengan masa depan negara secara keseluruhan.

“BN sudah terbukti sebagai sebuah parti yang berupaya mentadbir negara bukan sahaja dari sudut kestabilan politik tetapi dapat mengurus ekonomi dan kebajikan rakyat selama menjadi peneraju negara.

“Justeru pilihan terbaik pada PRN Melaka kali ini adalah BN,” katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama pengundi yang berasal dari Sabah dan mengundi di Melaka, baru-baru ini.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata undi anak-anak Sabah yang berada di sini dapat menentukan kemenangan calon yang bertanding pada PRN Melaka, khususnya yang mewakili BN.

Beliau turut mengingatkan agar anak-anak Sabah yang mengundi di negeri ini supaya membawa semangat perjuangan BN dan UMNO yang diterjemahkan pada PRN Sabah tahun lalu.

Katanya, rakyat Melaka, termasuk penduduk berasal dari Sabah yang mengundi di negeri ini perlu memilih sebuah parti yang memiliki organisasi tersusun untuk menjamin kehidupan generasi akan datang sebagaimana yang dilakukan oleh BN sepanjang 60 tahun lalu.

“Kita sudah melalui pengalaman getir selama 22 bulan kerajaan terdahulu memerintah negara, jadi tidak mungkin pada PRN kali ini kita memilih parti yang gagal mentadbir urus negara dengan baik,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, kerajaan diterajui parti lawan sebelum ini bukan saja gagal mengurus negara, malah turut gagal meletakkan calon Ketua Menteri yang tepat dalam persaingan PRN Melaka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|