Bomba selamatkan wanita OKU

Bomba selamatkan wanita OKU

Sandakan: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) diselamatkan pasukan bomba selepas ditemui berada di luar tingkap bangunan di kedai Sim Sing Hup Batu 8, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, wanita berusia lingkungan 20 tahun itu segera diselamatkan selepas dikhuatiri akan terjatuh dari bangunan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.04 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba dilokasi kejadian, wanita berusia lingkungan 20-an itu didapati berada di luar tingkap di tingkat satu bangunan berkenaan.

“Pasukan bomba terus bertindak menurunkan mangsa menggunakan tangga sebelum diserahkan kepada pihak keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan mangsa berada dalam keadaan selamat.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 4.29 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|