Covid-19 Sabah: Lagi kluster baharu babitkan pelajar asrama dilapor hari ini

Covid-19 Sabah: Lagi kluster baharu babitkan pelajar asrama dilapor hari ini

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan pelajar yang tinggal di asrama sekolah dilaporkan di Sabah, hari ini.

Kali ini kluster baharu berkaitan institusi pendidikan itu dikesan di daerah Tenom, membabitkan pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenom.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Mantailang Atas itu tercetus selepas seorang pelajar asrama SMK Tenom dikesan positif Covid-19 pada 13 November lalu.

“Saringan kontak rapat dalam kalangan rakan sekelas, rakan asrama dan keluarga kontak rapat mendapati 15 orang lagi dijangkiti Covid-19, setakat ini,” katanya dalam kenyataan media, petang ini.

Ia adalah kluster kedua berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah selepas Kluster Kemburongoh yang membabitkan jangkitan dalam kalangan pelajar asrama dan warden di SMK Kemburuongoh, Ranau, semalam.

Sementara itu, Masidi berkata jumlah jangkitan Covid-19 di Sabah hari ini tidak banyak berubah dengan sebanyak 543 kes baharu berbanding 541 kes semalam.

Katanya, daerah Kota Kinabalu terus menjadi penyumbang utama kes baharu di Sabah dengan sebanyaj 120 kes, meningkat 27 kes berbanding semalam.

Beliau berkata, ia diikuti daerah Ranau dan Tuaran dengan masing-masing mencatat 51 kes baharu.

“Dearah Penampang yang hari ini mencatat 40 kes baharu merekodkan penurunan tertinggi sebanyak 20 kes berbanding semalam.

“Turun naik kes di daerah lain adalah pada skala yang kecil, manakala Semporna dan Kalabakan tidak mencatat kes baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata jumlah pesakit yang mengalami kesan serius akibat jangkitan Covid-19 di Sabah kekal rendah dengan hanya seorang pesakit baharu dalam Kategori 5, manakala lima pesakit dalam Kategori 4 dan tiada pesakit dalam Kategori 3.

“Bagi kes jangkitan yang dianggap ringan, 466 orang pesakit atau 86 peratus adalah dalam Kategori 2 dan 65 pesakit atau 12 peratus lagi dalam Kategori 1,” katanya.

Katanya, berdasarkan kes harian di seluruh negara semalam, jangkaan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R0 / RT bagi seluruh negara ialah 1.02, manakala 0.97 bagi negeri Sabah.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid-19 Update 19 November 2021
Sabah 543 (541)*

Kota Kinabalu 120 (93)
Ranau 51 (38)
Tuaran 51 (56)
Kota Belud 47 (29)
Penampang 40 (60)
Papar 28 (29)
Kota Marudu 23 (33)
Keningau 19 (11)
Tenom 19 (45)
Beaufort 18 (32)
Putatan 17 (16)
Tawau 16 (11)
Tambunan 15 (11)
Beluran 14 (6)
Sandakan 9 (14)
Kinabatangan 9 (13)
Pitas 9 (8)
Kudat 8 (12)
Lahad Datu 7 (2)
Tongod 7 (0)
Sipitang 5 (9)
Telupid 4 (0)
Kunak 3 (1)
Nabawan 2 (7)
Kuala Penyu 1 (3)
Kalabakan 0 (1)
Semporna 0 (3)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 18 November 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|