Usaha merakyatkan perkhidmatan diperluas di seluruh negeri

Usaha merakyatkan perkhidmatan diperluas di seluruh negeri

Kudat: Usaha merakyatkan perkhidmatan kepada masyarakat akan terus dilakukan bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada perhatian kerajaan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata usaha itu akan diteruskan di seluruh negeri.

“Kementerian saya akan terus berusaha untuk merakyatkan perkhidmatan kepada seluruh rakyat negeri Sabah.

“Tidak kira sama ada mereka yang berada di luar bandar ataupun dalam bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Logo Baru Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) di Kampung Koniungan Darat, Matunggong, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Shahelmey berkata pelancaran logo baharu itu membuktikan peningkatan PPKK di negeri ini yang turut tersenarai dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan terus berusaha agar PPKK di negeri ini akan terus berkembang.

“Sejajar dengan hala tuju Sabah Maju Jaya, kerajaan bertekad untuk mewujudkan dua PPKK setiap tahun bermula tahun ini sehingga 2025.

“Semoga ianya menjadi identiti yang mengukuhkan lagi perkhidmatan kepada golongan sasar iaitu kanak-kanak.

“Kementerian saya melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah akan terus meningkatkan usaha agar PPKK terus berkembang bukan sahaja dari segi pembelajaran asas tetapi juga pendidikan ke arah kehidupan seimbang,” katanya.

Ketika ini terdapat 35 PPKK di seluruh negeri di bawah JPKA dan PPKK Koniungan Matunggong adakah PPKK yang pertama ditubuhkan di Sabah pada 1995.

PPKK adalah pusat khusus untuk kanak-kanak diberi pendidikan asas seperti menulis, membaca dan mengira di kawasan yang tidak mempunyai sekolah pendidikan awal seperti tadika.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|