Kota Kinabalu: Sabah terus merekodkan ‘trend’ penurunan kes Covid-19 dengan penyusutan sebanyak 52 kes daripada 502 kes semalam kepada 450 kes baharu, hari ini.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes hari ini adalah yang terendah sejak 16 Julai lalu.
Katanya, secara keseluruhan sebanyak 16 daerah mencatat penurunan kes, manakala lapan daerah mencatat peningkatan kes dan tiga daerah kekal dengan jumlah kes seperti semalam.
Beliau berkata, hanya dua daerah melepasi catatan 50 kes pada hari ini, manakala 19 daerah merekodkan kes di bawah 20.
“Daerah Kota Belud dan Ranau kekal menyumbang angka tertinggi catatan baharu jangkitan kes Covid-19, manakala daerah lain mula menunjukkan trend penurunan.
“Pada hari ini, Kota Belud mencatatkan kes tertinggi dengan 64 kes, diikuti daerah Ranau sebanyak 54 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masidi berkata, daripada 450 kes hari ini, sebanyak 266 kes atau 59.11 peratus adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu, manalala selebihnya adalah kes yang didaftar beberapa hari selepas keputusan saringan diperolehi.
Katanya, sebanyak 96 peratus daripada kes hari ini adalah pesakit dalam Kategori 1 dan Kategori 2 manakala seorang pesakit dalam Kategori 3, diikuti masing-masing tiga pesakit dalam Kategori 4 dan Kategori 5.
-Deasoka