STB sedia bantu pelancongan luar bandar capai Piawaian Pelancongan ASEAN

STB sedia bantu pelancongan luar bandar capai Piawaian Pelancongan ASEAN

Kota Belud: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedia memberi sokongan bagi melengkapkan komuniti luar bandar dengan kemahiran tertentu untuk menjadikan kawasan mereka sebagai destinasi pelancongan luar bandar bertaraf dunia menjelang 2025.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, berkata kementerian beliau menyimpan harapan untuk melihat lebih ramai pengusaha pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti di negeri ini mencapai Piawaian Pelancongan ASEAN.

Katanya, ia berikutan pencapaian sektor pelancongan luar bandar di Kadamaian yang kini giat berkembang dan kejayaan Persatuan Pelancongan Kadamaian menerima ASEAN Community Based Tourism Standard 2019-2021 di Hanoi, Vietnam pada awal tahun lalu.

“Industri pelancongan adalah salah satu teras utama Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi membangunkan negeri ini dalam tempoh antara 2021 sehingga 2025.

“Dalam pada itu, kementerian saya mahupun pihak STB sentiasa komited memajukan masyarakat luar bandar melalui aktiviti pelancongan yang menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri.

“Dalam usaha mencapai matlamat ini, pihak STB sentiasa memberi sokongan, memberi seminar dan latihan kemahiran dari segi kesedaran, keselamatan serta pengurusan kepada persatuan pelancongan, pengusaha pelancongan desa dan komuniti setempat yang terlibat dalam mengusahakan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing,” katanya.

Joniston yang juga pengerusi STB berkata demikian pada majlis pelancaran Dewan Terbuka Nahandang Melangkap Homestay dan Campsite di Kampung Melangkap, di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Pelancongan Melangkap (MATA), Petrus Sualan; Penasihat Nahandang Melangkap Homestay dan Campsite, Bidin Molindoi dan Presiden Gabungan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FERTAS), Walter Kandayon.

Beliau turut menyeru agar pemain industri pelancongan luar bandar menerapkan amalan lestari dalam mengusahakan industri bagi memastikan pembangunan yang mampan dan berpanjangan.

Dewan Terbuka Nahandang Melangkap Homestay dan Campsite adalah antara 85 projek membina dan menaik taraf infrastruktur pelancongan untuk Kota Belud di bawah Sabah New Deal yang membabitkan jumlah keseluruhan bantuan kewangan hampir RM1.67 juta.

Bantuan khas itu dilaksanakan kerajaan negeri ketika pandemik Covid-19, yang mana STB membantu menyelaraskan pengagihan bantuan kewangan kepada pemain pelancongan industri tempatan yang terkesan.

Bagi merancakkan aktiviti pelancongan luar bandar, Joniston menggalakkan pengusaha pelancongan desa untuk terus bekerjasama dengan STB dalam mengenal pasti produk pelancongan baharu yang berkualiti dan boleh dikembangkan.

Ia termasuk meneroka potensi ‘Dark Tourism’ atau Pelancongan Gelap di daerah ini sejajar usaha kementerian giat merancang untuk mempromosikan konsep pelancongan itu kepada rakyat tempatan mahupun pengunjung luar.

“Saya percaya kawasan luar bandar seperti di Kota Belud mempunyai potensi untuk membangunkan produk Pelancongan Gelap yang boleh dijadikan strategi pemasaran baharu bagi sektor pelancongan Sabah.

“Sebagai contoh, peristiwa Perang Pandasan pada 1910-an berpotensi dipromosikan sebagai Pelancongan Gelap luar bandar di daerah ini. Perang Pandasan ini adalsh satu peristiwa sejarah masyarakat Kota Belud yang boleh menambah nilai aktiviti pelancongan di sini.

“Pada masa yang sama, pengendali inap desa atau pengusaha pelancongan berasaskan komuniti mungkin boleh menambah atau mengadakan sesi bercerita sebagai sebahagian daripada aktiviti yang ada di tempat masing-masing, di mana pengusaha meluangkan masa bersama pengunjung mereka dan menceritakan peristiwa sejarah lalu atau kisah ‘folklore’ (cerita rakyat) di daerah ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|