Dr Yusof kekal ADUN Sindumin

Dr Yusof kekal ADUN Sindumin

Kota Kinabalu: Kedudukan bekas Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Dr Yusof Yacob kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin selepas isu pengosongan kerusi yang dikemukakan WARISAN diputuskan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, berkata beliau sudah meneliti semua dokumen yang dikemukakan WARISAN, Dr Yusof dan peruntukan undang-undang sedia ada mengenai isu pengosongan kerusi terbabit.

Katanya, beliau menerima tiga dokumen daripada Dr Yusof dan dua dokumen daripada WARISAN atau ejen parti itu selepas Dr Yusof mengumumkan keluar parti pada 8 Oktober lalu.

“Bagi menentukan status kerusi N35 Sindumin, saya dipandu oleh dokumen yang dihantar kepada saya, perjumpaan (dengan Dr Yusof) pada 11 Oktober lalu, undang-undang yang ada sekarang dan kes ADUN Sebatik yang sama seperti isu dihadapi sekarang.

“Berdasarkan perkara itu, walaupun Dr Yusof bukan lagi ahli parti politik iaitu WARISAN, kerusi N35 Sindumin tidak menjadi kosong apabila Dr Yusof mengisytiharkan keluar WARISAN pada 8 Oktober lalu.

“Sehubungan itu, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr Yusof Yacob masih ADUN bagi kerusi N35 Sindumin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Yusof mengumumkan keluar WARISAN dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 8 Oktober lalu kerana mahu membantu rakyat dan menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi penduduk Sindumin.

Berikutan tindakan Dr Yusof itu, WARISAN mengemukakan kepada Speaker DUN surat peletakan jawatan ADUN Sindumin dan akujanji yang ditandatangani Dr Yusof bahawa beliau perlu meletak jawatan sebagai ADUN Sindumin selepas keluar parti.

Kadzim berkata, Dr Yusof menghubunginya melalui panggilan telefon memaklumkan keputusannya menjadi ADUN Bebas pada hari yang sama beliau mengumumkan keluar WARISAN dan meminta untuk bertemu.

“Perjumpaan itu diadakan pada jam 11.20 pagi, 11 Oktober lalu. Ketika perjumpaan itu, Dr Yusof menyerahkan Deklarasi Berkanun (SD) mengisytiharkan antara lain bahawa beliau membatalkan semua sumpah yang dibuatnya dengan WARISAN sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada 2020, termasuk jika ada, sumpah untuk mengosongkan kerusi N35 Sindumin jika dia keluar WARISAN.

“Seterusnya pada 15 Oktober lalu, saya menerima satu surat daripada sebuah firma guaman mendakwa bahawa Dr Yusof melantik mereka. Turut dilampirkan bersama surat itu ialah surat peletakan jawatan yang dikatakan ditandatangani Dr Yusof pada 8 Oktober 2021,” katanya.

Susulan surat peletakan jawatan berkenaan, katanya Dr Yusof yang menafikan melakukan perkara itu kemudiannya mengemukakan satu lagi SD bertarikh 16 Oktober 2021 mengisytiharkan antara lain bahawa beliau tidak pernah menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ADUN pada 8 Oktober 2021 seperti yang dikemukakan firma guaman terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|