Lelaki maut, motosikal bertembung dengan pacuan empat roda

Lelaki maut, motosikal bertembung dengan pacuan empat roda

Keningau: Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 5, Jalan Tambunan-Keningau, berhampiran Kampung Moloson, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun yang mengalami kecederaan serius dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tambunan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kemalangan berkenaan daripada orang awam pada jam 8 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa bergerak dari arah Keningau menuju ke Tambunan. Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 67 tahun tiba-tiba memasuki laluan mangsa.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak dan kenderaan berkenaan terus bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kepala.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital menggunakan ambulans sebelum mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tambunan.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu pacuan empat roda berkenaan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|