Usaha berterusan pengurusan UCA2 cuba selesai masalah air

Usaha berterusan pengurusan UCA2 cuba selesai masalah air

Kota Kinabalu: Pihak pengurusan University Condo Apartment 2 (UCA2) tidak mengabaikan masalah dihadapi dengan mengadakan perbincangan dengan penduduk bagi mencari jalan penyelesaian.

Pengurus Kawasan Hartanah UUC, Jackson Banus Tuzan berkata, pihaknya berharap penduduk lebih terbuka bagi memberi ruang kepada semua memahami masalah sebenar.

Katanya, isu air di perumahan berkenaan berlaku disebabkan Loji Air Telibong yang dilihat tidak lagi dapat menampung keperluan air di kawasan sekitar.

“Penduduk mungkin tersalah faham dan mengganggap kegagalan bekalan air di perumahan ini kerana sengaja tidak mahu menyalurkan air kepada penduduk.

“Bukan itu saja, ada juga dakwaan yang mengatakan ketiadaan bekalan air itu adalah disebabkan pihak pengurusan perumahan ini berhutang dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sehingga bekalan dipotong,” katanya pasa sidang media selepas pertemuan dengan penduduk diadakan, semalam.

Jackson berkata, pihak pengurusan akan terus bekerjasama rapat dengan JANS dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat berhubung kedudukan bekalan air untuk dimaklumkan kepada penduduk.

Katanya, pihak pengurusan juga sentiasa membuat tempahan bekalan air dari semasa ke semasa bagi menampung keperluan penghuni.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman menyarankan kerajaan supaya mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah bekalan air khususnya kawasan Sepanggar.

Katanya, pihak kerajaan perlu menyediakan peruntukan bagi membolehkan bekalan air dapat dihantar ke kawasan yang menghadapi masalah kritikal.

“Saya berharap JANS dapat membantu menghantar air ke kawasan ini, bagi memastikan bekalan air tidak putus.

“Ia sebagai penyelesaian jangka pendek dan pihak pengurusan juga bersetuju menghantar 20 tangki air untuk kegunaan penghuni UCA2,” katanya.

Azis berkata, pihak pengurusan, penghuni UCA2, dan JANS juga perlu bekerjasama rapat untuk memastikan bekalan air dapat dihantar secara berterusan ke kawasan itu.

Katanya, semua pihak haris mengakui antara punca kawasan ini sering mengalami gangguan bekalan air disebabkan Loji Air Telibong 1 tidak lagi dapat menampung keperluan air di kawasan Sepanggar dan Tuaran.

“Itu sebabnya Loji Air Telibong 2 dibina dan sekarang dalam proses pembinaan. Bagaimanapun saya berharap kerajaan dapat mengambil inisiatif membantu penduduk,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|