Kena renjatan elektrik ketika cuba padam kebakaran

Kena renjatan elektrik ketika cuba padam kebakaran

Kota Belud: Seorang lelaki terselamat selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba memadamkan api kebakaran dalam kejadian di Kampung Suang Punggur, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 20 tahun dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba dilokasi kejadian, pasukan operasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah berkeluasan 33 meter persegi dan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 60 meter terus dijalankan.

“Pasukan jentera yang menggunakan dua pancutan air kemudiannya berjaya mengawal api kebakaran pada jam 11.19 malam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman terus dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 11.50 malam.

“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|