PRN Melaka: Datuk Seri Sulaiman Md Ali angkat sumpah Ketua Menteri Melaka tengah malam tadi

PRN Melaka: Datuk Seri Sulaiman Md Ali angkat sumpah Ketua Menteri Melaka tengah malam tadi

Melaka: Barisan Nasional (BN) tidak menunggu lama untuk melantik Ketua Menteri Melaka selepas memenangi lebih dua pertiga kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malam tadi.

Calon Ketua Menteri dinamakan BN sebelum ini, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 sejurus BN diumumkan secara rasmi memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN.

Sulaiman, 55, yang memenangi kerusi DUN Lendu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) pada jam 12.58 tengah malam tadi.

Majlis secara tertutup itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak.

Sulaiman adalah penyandang jawatan Ketua Menteri Melaka yang sebelum ini dilantik setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah Melaka selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 jatuh pada tahun lalu.

Kemenangan besar BN dengan 21 kerusi pada PRN Melaka diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu sidang media khas pada jam 11.27 malam tadi.

PRN Melaka menyaksikan Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi lima kerusi, manakala dua kerusi lagi dimenangi Perikatan Nasional (PN).

Secara keseluruhan, Abdul Ghani berkata seramai 326,068 atau 65.85 peratus pengundi Melaka menunaikan tanggungjawab membuang undi sepanjang proses pengundian PRN Melaka semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|