UMNO terus bantu rakyat – Awang Aslee

UMNO terus bantu rakyat – Awang Aslee

Kuala Penyu: UMNO perlu sentiasa menjadi juara di hati rakyat untuk membela dan membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19, darurat, sakit dan musibah banjir.

Ketua UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata natijah pandemik kepada ekonomi semakin terasa yang turut menyebabkan rakyat makin susah, resah dan gelisah memikirkan soal kelangsungan hidup.

“Di tengah-tengah krisis pandemik dan keperitan rakyat ini, pemimpin UMNO di semua peringkat perlu cakna terhadap masalah rakyat dan berusaha membantu mereka,” katanya ketika ditemui selepas program ziarah ke beberapa kampung di kawasan Parlimen Beaufort, baru-baru ini.

Awang Aslee yang juga Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, berkata pemimpin UMNO di semua peringkat perlu mengelak budaya hanya bertemu rakyat atau ahli ketika pilihan raya atau pemilihan parti.

“Kita harus kembali kepada landasan asal dengan menjadikan mantra ‘tradisi membela rakyat’ sebagai teras perjuangannya ketika ini,” katanya.

Awang turut berpuas hati terhadap kepimpinan dan sayap UMNO di bahagian Beaufort yang mengamalkan budaya kerja berpasukan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial parti kepada masyarakat yang memerlukan bantuan di kawasan itu.

“Budaya ini perlu kita jadikan sebagai amalan berpanjangan, jika ketua tidak dapat turun, timbalan, naib dan seterusnya ahli jawatankuasa dapat memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, program ziarah memberi kesan kepada moral dan keyakinan rakyat serta ahli terhadap parti secara berterusan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|