Tujuh rumah musnah terbakar di Kampung Chinta Mata

Tujuh rumah musnah terbakar di Kampung Chinta Mata

Tenom: Tujuh rumah jenis separuh kekal musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Chinta Mata, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, sebuah motosikal milik salah seorang penduduk di kampung berkenaan turut musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mohd Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.28 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama jentera serta lori tangki dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, api didapati sedang marak dan operasi memadam kebakaran segera dilakukan bagi mengawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

“Tindakan operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan sepanjang 120 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainal berkata, api hanya berjaya dikawal daripada terus merebak pada jam 10.58 pagi dan seterusnya kerja-kerja pemadaman punca-punca api diteruskan.

Katanya, dalam kejadian ini, pasukan bomba juga berjaya menyelamatkan empat rumah dan sebuah surau.

“Tiada sebarang mangsa kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.47 tengah hari.

“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|