Pensyarah UMS bantu mangsa banjir

Pensyarah UMS bantu mangsa banjir

Kota Kinabalu: Dua pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif menggerakkan bantuan membantu mangsa banjir yang terjejas teruk di Kampung Sugud, Penampang.

Pensyarah terbabit, Dr Getrude Cosmas dan Dr Carmella E Ading yang juga Ahli Jawatankuasa Komiti Khidmat Komuniti Persatuan Psikososial Sabah (PPS) menghulurkan bantuan dan sokongan kepada 10 keluarga terjejas.

Kedua-dua mereka tampil melaksanakan inisiatif itu kerana prihatin terhadap pelbagai cabaran dan kekangan yang dilalui segelintir keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam era pandemik Covid-19.

Getrude berkata sebelum ini mereka mengadakan lawatan di kampung yang terjejas dengan ditemani seorang penduduk, Joannes Moduying untuk meninjau keadaan di sana selepas banjir.

“Jelas kelihatan banyak harta benda yang musnah seperti peti sejuk, kereta, televisyen dan harta benda yang lain.

“Kawasan dalam dan luar rumah yang dipenuhi lumpur, rumput dan kayu kering juga pastinya memerlukan masa dan tenaga daripada ahli keluarga untuk melakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya bagi meringankan beban kepada keluarga yang terjejas, PPS menyerahkan sumbangan berupa keperluan harian dan makanan kepada wakil keluarga.

Pihak PPS juga katanya amat menghargai sumbangan daripada individu yang turut bersama merealisasikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

“Sememangnya dalam berhadapan dengan bencana seperti pandemik Covid-19 dan banjir, keprihatinan daripada semua pihak amat diperlukan tanpa mengira latar belakang bagi meringankan beban dan memberikan semangat kepada mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan,” katanya.

Selain bantuan kepada keluarga di Kampung Sugud, PPS juga menghulurkan bantuan makanan kepada sembilan keluarga di Kampung Rugading, Tuaran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|